cukup sudah, 100 orang telah dibunuhnya…
Di zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Kemudian dia didatangi rasa bersalah dan ingin bertaubat. Dia berjumpa seorang alim lalu berkata, “Saya telah membunuh 99 orang. Kini saya ingin bertaubat. Apakah Allah akan terima taubat saya ini?”
Dijawab oleh si alim, “Oh, tidak ada jalan bertaubat bagi kamu. Dosa kamu sangat besar!” Lelaki itu sangat marah dan geram, lalu dibunuhnya orang alim ini. Cukuplah kini seramai 100 orang yang teolah dibunuhnya.
Lelaki itu kemudian bertemu dengan ulama lain. Ulama kedua memberitahunya, “Kamu boleh diterima taubat dengan syarat kamu pergi ke satu tempat di mana di tempat itu ramai orang mengingati Allah. Kamu pergi ke sana, taubat kamu akan diterima di situ. Kamu berusahalah pergi ke sana.” Orang lelaki tadi pun mulalah berjalan. Belum sempat dia tiba di tempat tersebut, telah sampai ajalnya, malaikat Izrail mencabut nyawannya.
Setelah malaikat Izrail mencabut nyawa orang itu, dia akan serahkan rohnya samada kepada malaikat azab atau malaikat rahmat. Waktu itu malaikat azab dan malaikat rahmat berbalah sesama mereka. Malaikat azab berkata, “Roh ini patut diserahkan kepadaku, kerana orang ini telah membunuh 100 orang, dan belum sampai lagi ke tempat taubat.” Malaikat rahmat pula berkata, “Tidak. Roh ini patut diserah kepadaku. Walaupun belum bertaubat, dia sudah pun berjalan menuju ke tempat taubatnya.”
Dalam keadaan itu, Allah s.w.t memberi keputusan-Nya, bahawa roh orang itu adalah milik malaikat rahmat, kerana walaupun dia belum sampai ke hujung jalan taubat, tetapi dia sudah pun menempuh jalan itu.